Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo (kiri) beramah mesra dengan sebahagian anggota yang menerima sijil penghargaan pada Sambutan Hari Polis Ke-214 peringkat Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis diminta mempersiapkan diri dengan kemahiran dan kelengkapan teknologi bagi memerangi senario jenayah yang sentiasa berubah.

Itu pesanan khas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 hari ini.

“Perkembangan teknologi begitu pantas menyebabkan trend jenayah juga berubah setiap masa dan lebih advance. Kita juga perlu mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan teknologi bagi memerangi jenayah tersebut,” ujarnya.

Mei Choo juga mahu setiap anggota meningkatkan usaha dan komitmen supaya bandaraya Kuala Lumpur kekal aman dan harmoni daripada  berlaku jenayah serius.

Beliau menaruh harapan kepada warga pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur (KL) supaya melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh berdedikasi serta tanggungjawab.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo (tengah) bergambar dengan anggota-anggota yang hadir pada Sambutan Hari Polis Ke-214 peringkat Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2021.

“Saya bangga dengan segala pencapaian warga IPK KL khususnya setiap jabatan selama ini dan berharap terus melaksanakan tugas dengan penuh beramanah dan dedikasi untuk  memastikan imej kepolisan terus terserlah dan bandaraya Kuala Lumpur kekal selamat dan tenteram untuk semua,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan rasa bangga dengan komitmen pasukannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac 2020 hingga kini.

Dalam majlis yang disambut penuh sederhana dan norma baharu Covid-19 yang ketat, seramai 25 orang pegawai dan anggota diberikan sijil kecemerlangan manakala 12 daripadanya merupakan pengamal media.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo (dua kiri) beramah mesra dengan petugas media yang menerima sijil penghargaan pada Sambutan Hari Polis Ke-214 peringkat Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2021.

Beliau turut mengharapkan kerjasama erat antara polis IPK KL dan  pengamal media terus terjalin dalam menyalurkan kejayaan jenayah dan kesedaran kepada masyarakat dalam menjamin komuniti selamat dan harmoni di ibu kota.

Beliau dalam majlis sama menyampaikan amanat khas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang merakamkan setinggi penghargaan kepada warga IPK KL atas pencapaian selama ini dan terus menabur bakti untuk masyarakat dan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast