Dr Mujahid Yusuf Rawa
Dr Mujahid Yusuf Rawa

KUALA LUMPUR – Kenyataan Penolong Pengarah Cawangan Khas Antipengganas (E8), Azman Omar bahawa ada cubaan membunuh Perdana Menteri dan jemaah Kabinet pemerintahan Pakatan Harapan (PH) mengejutkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau tidak menyangka akan menjadi sasaran pihak-pihak tertentu ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tahun lalu.

“Berita yang didedahkan sangat mengejutkan, saya tidak sangka cita-cita Islam Rahmatan Lil Alamin menjadi ancaman kepada pengganas.

“Semoga kita semua dilindungi Allah Taala. Terimakasih kepada PDRM (Anti Keganasan),” katanya ketika ucapan Selamat Ulangtahun Polis ke 214, semalam.

Semalam, Azman mendedahkan pihaknya berjaya menggagalkan hasrat seorang lelaki dalam cubaan untuk membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk beberapa lagi menteri lain dan kerajaan PH.

Beliau berkata individu berkenaan telah ditahan pada bulan Januari lalu yang turut mengakui membuat perancangan tersebut.

Individu berkenaan dikatakan merancang serangan untuk membunuh Mahathir selain bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Mujahid dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

PH menerusi Presiden Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu semalam turut mengecam tindakan Menteri Dalam Negeri (KDN) ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendiamkan diri mengenai cubaan membunuh pemimpin kerajaan PH. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cubaan bunuh PM: PH desak Muhyiddin beri penjelasan