Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan replika kunci kepada penghuni, Abu Bakar Saad sambil diperhatikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kiri) pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Razakmas 2 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap komited untuk memastikan lebih ramai golongan berpendapatan rendah (B40) mempunyai rumah sendiri.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, biarpun nilai hartanah semakin meningkat namun ia tidak menghalang kerajaan untuk merealisasikan impian golongan itu.

“Selain itu, cabaran kerajaan juga ialah untuk menjaga kebajikan golongan miskin bandar terutamanya warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta serta penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Misalnya, Perumahan Awam Sri Labuan ini yang telah berusia hampir 40 tahun telah usang, tiada kemudahan lif dan tiada kemudahan tempat letak kereta yang teratur.

“Ini akan menyebabkan keadaan menjadi sesak, tidak kondusif untuk didiami serta memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penyerahan kunci rumah bagi 395 pemilik kediaman Residensi Razakmas2, hari ini.

Hadir pada majlis, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Untuk rekod, projek Residensi Razakmas2 tertangguh selama 10 tahun dan pembinaannya siap pada tahun ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan membelanjakan RM40 juta di bawah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi pada tahun lalu untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Ia membabitkan kerja-kerja membaiki bumbung, tangga, mengecat bangunan serta kerja-kerja pembaikan utiliti yang melibatkan 63 projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan 13 projek di Labuan, ujarnya.

“Ini semuanya dilaksanakan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara,” tambah beliau.

Muhyiddin berkata, melalui Kementerian Wilayah Persekutuan, kerajaan telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur dalam usaha mewujudkan ibu kota maju, menarik dan kondusif.

Katanya, ia bertujuan untuk membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan dan disasarkan supaya menjadi kawasan yang berwajah baharu, vibrant dan mampu berdaya saing.

Pada 29 Januari lalu Annuar berkata, tumpuan akan diberi di kawasan yang masih terdapat bangunan dan kediaman usang berusia lebih 40 tahun. – MalaysiaGazette