Penduduk kampung bergotong-royong menggantikan atap yang musnah akibat kejadian ribut kepala angin petang semalam di Kampung Balok, Kuantan.

KUANTAN – Sehari selepas dilanda ribut kepala angin sehingga banyak rumah rosak, penduduk Kampung Balok hari ini mula membaiki kediaman masing-masing.

Tinjauan Malaysia Gazette petang tadi mendapati rata-rata mangsa yang terlibat sudah mula membersihkan kawasan rumah mereka.

Kebanyakan mereka menghimpunkan pecahan atap zink, mengutip serpihan papan rumah dan mula bertukang menggantikan atap baharu.

Ada juga terpaksa menggantikan paip rumah yang rosak.

Selain itu, pokok besar yang tumbang menghempap rumah penduduk juga sudah dialih dan dibersihkan.

Seorang pendududuk, Sharifah Syed Rohani Syed Ishak, 50, berkata, kejadian yang berlaku petang semalam merupakan kejadian pertama sejak 37 tahun sejak mendiami kawasan itu.

Kejadian yang menimpa, menurutnya, tidak meragut nyawa tetapi memusnahkan hampir semua kawasan bumbung rumahnya.

“Saya cuma terfikirkan menyelamatkan ibu saya sudah tua semasa kejadian dan hari ini keluarga bergotong-royong mengantikan atap baru.

“Ada atap yang terbang tidak tahu ke mana dan ada atap rumah jiran tetangga jatuh di kawasan depan rumah.

“Harga atap sekaki RM4 lebih, bayangkan banyak atap yang perlu diganti baru,” kata Sharifah.

Bagi pemilik kedai makan, Syed Mohd Yasin pula, atap garajnya  terbang hampir 30 meter akibat kejadian yang sama semalam.

“Atapnya jauh terbang ke seberang jalan dan dapur di bahagian kedai saya masih belum dibaiki kerana rosak teruk,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengerusi JKKK Kampung Balok, Mansor Mokhtar, data terkini mendapati seramai 70 mangsa sudah membuat pendaftaran menerusi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang.

“Sehingga semalam hanya 45 yang mendaftar dan hari ini sudah mencecah 70 orang dan berkemungkinan jumlah meningkat.

“Saya mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada semua kerana ramai yang prihatin akan nasib yang menimpa penduduk Kampung Balok,” ujarnya.

Bagi Pengerusi Malaysia Relief Agency (MRA) Pahang, Mahadi Deraman pula berkata, beliau bersama pasukan sukarelawan turun padang  membantu penduduk terjejas membantu membaiki dan membekalkan atap zink kepada mangsa yang kurang  berkemampuan.

“Pihak MRA membantu dua buah rumah yang terjejas teruk, membaiki dan membeli zink baru kepada mangsa orang kurang upaya (OKU).

“InsyaAllah akan disiapkan secepat mungkin dan cuba membekalkan kit makanan kepada mangsa yang terkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian UMNO Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal b Ab Hamid juga dilihat menyantuni mangsa ribut dengan membekalkan kit makanan dan beras.

“Selain itu, pihak kami sedang berusaha untuk membantu walaupun tidak banyak dengan memberi peruntukan atap zink kepada mangsa yang terjejas,” katanya.

Kejadian ribut kepala angin berlaku pukul 4.30 petang semalam sekali gus merosakakan banyak kediaman dan premis kedai di Kampung Balok. – MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk laung azan ketika angin kuat, 45 rumah rosak akibat ribut kepala angin