KEMAMAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan pasukan penyelamat dari Indonesia dan Vietnam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan enam pemancing termasuk tekong yang dikhuatiri hilang di perairan Kemaman, sejak Isnin lepas.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, ia antara usaha pihaknya dalam meneruskan pencarian sekiranya bot tersebut hanyut ke perairan negara jiran.
“Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) di Putrajaya telah memaklumkan kepada semua agensi menyelamat negara jiran iaitu Vietnam dan Indonesia dengan mengeluarkan notis mengenai kehilangan bot nelayan tempatan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini.
Mangsa yang masih hilang dalam kejadian itu ialah tekong Mohd Hafizol Hisham Zakaria, 29 dan lima pemancing Mohd Samerin Suhaimi, 29, Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19, Rosidi Mohamad, 22, Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19, dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20.
Kesemua mereka dikatakan pergi memancing ke laut dalam pada Isnin lepas dan dijadualkan pulang pada keesokannya (Selasa) namun kesemua mereka gagal dihubungi pada petang Isnin, menyebabkan keluarga membuat laporan kepada APMM.
Mengulas lanjut, Rashidilhadi berkata, bagi pencarian hari ketiga SAR pagi ini, usaha akan diteruskan dengan pertambahan lebih banyak aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Marin.
“Semalam, dua aset laut Maritim Malaysia iaitu kapal KM Pekan dan KM Gemia telah membuat pencarian di sektor 342 batu nautika persegi manakala pesawat udara AS365N3 Dauphin dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) telah melakukan dua penerbangan di kawasan 220 batu nautika persegi.
“Namun, op SAR yang berakhir pada 7 petang, masih gagal ada sebarang petunjuk yang boleh membawa kepada penemuan mangsa,” katanya menambah kawasan pencarian hari ini akan diperluaskan sehingga ke perairan Rompin dan utara Pulau Tioman di Pahang. – Bernama