Rosman (tengah) menunjukkan rokok seludup bernilai RM264,750 yang dirampas pihaknya.

GEORGE TOWN – Taktik seorang lelaki menjadikan sebuah stor dalam kebun koko sebagai tempat menyimpan rokok seludup dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Pulau Pinang semalam.

Stor itu ditemui selepas polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun di kawasan perumahan Taman Sri Aman, Sungai Jawi, Seberang Perai pada jam 6.30 petang.

Polis Marin bongkar stor rokok seludup dalam kebun Koko di Kampung Jawi, Seberang Perai.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, wanita itu ditahan ketika menuju ke sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipercayai menjadi tempatan simpanan sementara sebelum rokok tersebut dijual.

Rosman Ismail.

Katanya, berpandukan pada maklumat wanita itu pihaknya menyerbu sebuah stor di dalam kebun koko di Kampung Jawi, Sungai Jawi yang membawa kepada penemuan 1,940 karton pelbagai rokok bernilai RM264,750.

“Selepas 30 minit membuat pemeriksaan di stor berkenaan tiba-tiba seorang lelaki tampil mengaku pemilik stor terbabit. Ketika serbuan itu, suspek turut menawarkan wang sogokan sebanyak RM10,000 agar tiada tindakan diambil.

Rosman (tengah) menunjukkan rokok seludup bernilai RM264,750 yang dirampas pihaknya.

“Susulan itu, kita menahan suspek selain menyita wang yang disogokkan,” katanya pada sidang akhbar di Batu Uban di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta serta motosikal yang dianggarkan bernilai RM34,000.

Tambah Rosman, kedua-dua suspek itu dipercayai rakan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mereka sudah lama aktif dalam kegiatan haram itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua mereka direman sehingga 28 Mac ini bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – MalaysiaGazette