Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beramah mesra bersama tetamu yang hadir di Program Rapat Malaysia Prihatin di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MAC 2021.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan hanya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja yang boleh menentukan beliau bertanding di kerusi mana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, selain ketuanya, tiada sesiapa berhak untuk menentukan kerusi untuknya bertanding, sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jadi, siapa dia nak menentukan saya bertanding di mana? Yang tentukan adalah presiden parti sahaja,” katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri majlis Rapat Malaysia Prihatin di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan media berhubung kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mencabarnya bertanding di kerusi Gombak pada PRU15 ini.

Dalam sesi wawancara bersama MMTV, Megat Zulkarnain dilaporkan berkata, beliau yakin pengundi kawasan Gombak akan memilih pemimpin dengan bijak dan berhati-hati pada PRU nanti.

Katanya, memang sepatutnya Mohamed Azmin kekal bertanding di Gombak kerana tiada siapa boleh menghalangnya untuk mempertahankan kerusi itu.

Sementara itu, ditanya mengenai Undi-18, Mohamed Azmin berkata, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh sudah membuat penjelasan dan apa yang diperkatakan itu dengan mengambil kira dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan tugasnya untuk menyelesaikan dengan cepat.

Beliau berkata, pihak yang mahu supaya pindaan Undi-18 dilaksanakan segera ialah mereka yang mendesak PRU diadakan sejak tahun lalu dan tahun ini lagi.

“Kita buat pindaan atas prinsip itu dengan harapan anak muda dapat mengundi pada PRU akan datang dan tempoh PRU 15 berakhir ialah tahun 2023. Siapa yang janji untuk diadakan tahun 2020 atau 2021?

“Kenapa tidak boleh sabar? Pindaan ini perlu melalui proses yang betul. Kena buat pindaan mengenai daftar pemilih, itu antara perkara yang mesti dibuat, termasuk di negeri juga mesti buat pindaan.

“Untuk buat pindaan di Parlimen saja tidak boleh, ia kena buat juga di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini adalah proses. Kita serahkan sahaja kepada SPR,” katanya.

Justeru, beliau meminta pihak tertentu supaya jangan menghentam kerajaan sahaja kerana pihaknya yang membawa pindaan itu, tetapi keputusan membenarkan anak muda terlibat dalam proses demokrasi telah dilakukan.

“Cuma, beberapa pindaan peruntukan undang-undang pilihan raya juga kena buat. Kita perlu beri masa kepada SPR, jangan buat sebarang andaian yang memainkan sentimen rakyat.

“Ini tidak adil, kerana kita mendukung sebahagian besar sumbangan anak muda dan mereka juga bertanggungjawab memastikan demokrasi berjalan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette