LONDON – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak akan mengambil tindakan ke atas para pemain pasukan Norway kerana tindakan mereka menyokong pekerja migran di Qatar.
Sebelum itu, para pemain Norway memakai baju kemeja T yang membawa mesej ‘hak asasi manusia di atas dan luar padang’ sebelum aksi pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Gibraltar.
Kapten pasukan, Martin Odegaard berkata, sebelum aksi bermula para rakan sepasukannya merancang sesuatu untuk meluahkan perasaan mereka dalam soal hak asasi untuk pekerja asing yang sedang mengorbankan tenaga menyiapkan Stadium Piala Dunia Qatar.
Mereka memakai baju kemeja T itu yang tertera perkataan ‘Respect on and off the pitch‘ ketika sesi latihan memanaskan badan di Marbella.
Piala Dunia dijadualkan berlangsung di Qatar pada 21 November 2022.
Dalam aksi pembukaan pusingan kelayakan kumpulan G awal pagi tadi, Norway menjinakkan Gibraltar 3-0.
Badan kawalselia bola sepak sedunia , FIFA berkata, Norway tidak akan berdepan sebarang tindakan disiplin berikutan tindakan protes mereka yang ditunjukkan semalam.
“FIFA percaya terhadap kebebasan bersuara dan dalam dunia bola sepak itu amalan atau budaya yang sihat tanpa melampaui batasannya,” katanya.
Sejak Qatar menerima hak tuan rumah temasya kali ini, ia menerima pelbagai kritikan dari serata dunia termasuk organisasi hak asasi manusia antarabangsa berkaitan layanan dan soal keselamatan nyawa migran yang dikerah dalam pembangunan stadium dan venue pertandingan yang bakal membuka tirai hujung 2022.
Norway negara terbaharu menyuarakan rasa tidak puas hati layanan Qatar ke atas migran terlibat dalam penyiapan venue piala dunia.
Awal Mac ini, Norway digesa pelbagai pihak untuk memboikot piala dunia sekiranya mereka layak ke Qatar kali ini disusuli tekanan beberapa kelab liga Norway.
Tekanan itu menyusul selepas laporan media asing The Guardian pada Februari lalu melaporkan sebanyak 6,500 pekerja migran telah mati di Qatar sejak hak penganjuran piala dunia dianugerahkan kepada Qatar pada tahun 2010.
Sebagai tindak balas kepada laporan itu, jawatankuasa penganjur Qatar menyatakan kekesalan ke atas kesemua tragedi membabitkan pekerja migran dan setiap insiden disiasat secara adil sebagai pengajaran mengelak ia berulang lagi.
Kemalangan jiwa dalam komuniti Qatar adalah terkawal menbgikut demografi populasi pekerja migran yang terlibat.
Qatar secara kontroversi menewaskan pesaing terkuat yang merebut hak tuan rumah Piala Dunia 2022 iaitu Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan dan Jepun dan ratusan ribu pekerja migran diturunkan untuk pembinaan venue temasya tersebut sejak sedekat lalu.
Qatar telah membina tujuh stadium baharu Piala Dunia yang serba canggih yang telah dipindahkan dari Julai kepada November bagi mengelak cuaca panas ekstrim di negara tersebut.
Awal minggu ini, Amnesty International telah mamanggil FIFA untuk memberi tekanan kepada Qatar untuk menguotakan janjinya membela hak kebajikan dan keselamatan migran sebelum perlawanan itu membuka tirai.- MalaysiaGazette