NEW DELHI – Keadaan pandemik Covid-19 semakin serius di India dengan kes mencecah 11,846,652 semalam berikutan 59,118 kes baharu dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.
Agensi melaporkan, rekod itu juga termasuk jumlah harian tertinggi tahun ini berdasarkan angka terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan India.
Dalam tempoh tiga hari sejak Khamis lepas sehingga hari ini sudah ada 257 kematian sehingga meningkatkan jumlah kematian kepada 160,949 mangsa.
Sebanyak 421,066 kes aktif di India manakala 11,264,637 pesakit disahkan sembuh dan dikeluarkan dari hospital selepas menjalani rawatan dilaporkan setakat ini.
Juga ada peningkatan 25,874 kes aktif selama 24 jam sebelumnya dengan kes maksimum dilaporkan dari negara di bahagian barat daya, Maharashtra.
Kes aktif harian meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana gelombang Covid-19 semakin teruk di negara berkenaan.
Pada Januari lalu, jumlah kes harian di negara itu turun ke bawah 10,000 kes berikutan 9,102 kes baharu dilaporkan antara 25 dan 26 Januari, juga yang terendah dalam 237 hari sebelumnya.
India memulakan program vaksinansi di seluruh negara pada Januari lalu dan setakat ini, lebih 55 juta orang sudah menerima vaksin di seluruh negara.
Sementara itu, kerajaan meningkatkan kemudahan ujian di seluruh negara, di mana lebih 238 juta ujian sudah dilakukan setakat ini. -MalaysiaGazette