Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan rahmat kepada UMNO atau Pas sebaliknya merupakan rahmat kepada Islam, orang Melayu, masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat di negara ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan PH sebelum ini tidak dapat dibayangkan dan kejatuhan mereka banyak kebaikannya.

“Baik dari segi keharmonian antara kaum. Baik dari segi ekonomi. Segalanya berpaksikan kepada kelemahan sebuah kerajaan yang tidak bijak untuk mengemudi.

“Walaupun kita sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan, tetapi ini tidak bermakna, ia memberi lampu hijau kepada kerajaan sementara ini untuk bertindak sewenang-wenangnya.

“Ini tidak bermakna walaupun saya berpijak di dalam pentas sama, segala tindak-tanduk dan keputusan boleh yang menodai kepercayaan rakyat, tidak semestinya kita akur,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam pada itu, Noraini tidak menafikan enam bulan pertama pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) penuh semangat dan kegembiraan rakyat dan selepas itu dipenuhi hiruk-pikuk pergaduhan politik.

“Benarlah kuasa menguji manusia. Kita mudah menuturkan bicara ketika menunding jari. Hari ini apabila diberi kuasa dan peluang oleh Allah S.W.T., kita mengulangi sejarah perbalahan umat Islam sejak pembunuhan Saidina Usman Affan.

“Inilah tanggapan saya dalam keadaan politik orang Melayu hari ini. Walaupun kita tidak berperang dan berbunuhan secara fizikal, namun perang dan ‘pembunuhan’ dalam wacana politik juga bakal melemahkan politik Melayu-Islam sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Wanita UMNO harus bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa, apatah lagi UMNO akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) secara solo.

“Kita bangga dengan jenama ini. Jenama ini telah kita pertahankan sejak tertubuhnya pada 1973. Ingat, daripada dulu lambang dacing inilah yang telah memberi khidmat bakti kepada rakyat sehingga ke pedalaman, hutan bandar dan persisiran pantai.

“Kenapa hanya sekali dicabut kemenangan, kita hilang arah dan bagai lupa segala jasa dan pengorbanan? Kita tidak ada masa lagi untuk berbalah dan berpecah belah merebut jawatan, menjatuhkan kawan dan mensabotaj perjalanan parti.

“Kalau parti ini tewas lagi, apa guna menang tetapi parti semakin hilang di hati rakyat, lebih-lebih lagi ahli-ahli akar umbi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Apa kerosakan ph lakukan kenapa tidaAtau ph telah menangkap banyak pemimpin umno dan nama umno menjadi buruk ini dikatakan kerosakan yang ph lakukan . Rakyat boleh nilai sendiri jangan dengar manusia yang kita kenal selama ini menipu . Mencuri dan rasuah ulas satu persatu supaya rakyat tahu.

  2. Apa kerosakan ph lakukan kenapa tidak nyatakan satu persatu supaya rakyat tahu. Atau kerana ramai pemimpin umno yang ditangkap ini dikatakan kerosakan yang ph lakukan . Rakyat boleh nilai sendiri ucapan orang umno ni padahal kita tahu selama ini mereka menipu mencuri dan rasuah

Comments are closed.