logo polis
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang keluar dari rumahnya di Shah Alam pada Khamis lalu untuk makan ditemui mati di bilik sebuah unit rumah di Empayar City, Damansara dekat sini hari ini.

Insiden itu dilaporkan berlaku sekitar 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan mendapati individu itu dilaporkan keluarganyaa telah keluar rumah untuk pergi makan pada 25 Mac lalu.

“Kemudian sejak hari itu (25 Mac) dia terus tidak pulang ke rumah di Seksyen U9, Shah Alam sehingga kejadian hari ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Nik Ezanee, mangsa berusia 24 tahun itu juga gagal dihubungi keluarganya sejak keluar dari rumah.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih lagi dibuat dan polis juga dalam proses mengenal pasti status mangsa sama ada bujang atau sudah berkahwin selain segala butiran peribadi lain.

“Punca kematian mangsa juga dalam siasatan polis,” tegasnya.

Polis sebelum itu menerima panggilan kecemasan pukul 4.16 petang daripada orang awam mengenai penemuan mayat seorang individu itu.- MalaysiaGazette