Wan Mohamed Rasman Hassan

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan mahu kepimpinan Pusat memutuskan hubungan dan keluar serta merta dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) tanpa menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sayap parti itu menegaskan, UMNO yang disifatkan sebagai janda kaya yang menjadi rebutan, boleh memutuskan bila-bila masa dari sekarang kerana mereka tidak bernikah secara mutaah dengan PN.

Pembahas sayap dari Kelantan, Wan Mohamed Rasman Hassan berkata, Pemuda UMNO pernah didesak untuk menjadi anak jantan oleh pihak tertentu sebelum ini.

Maka, katanya, hari ini sayap parti itu menuntut dan mendesak semua Ahli Parlimen dari UMNO meletak jawatan dalam kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jadilah anak jantan seperti Pengerusi Perhubungan kami Datuk Ahmad Jazlan Yaacob tanpa rasa takut dan gentar.

“Sebagai jurucakap suara Pemuda UMNO dari Kelantan, saya tidak perlu takut untuk menyatakan sesuatu yang benar demi perjuangan dan kelangsungan perjuangan parti.

“Seingat saya, sewaktu UMNO bersetuju untuk memberi sokongan dalam kerajaan PN, tanggapan kita, akan menjadi sebahagian dalam kerajaan dan dilayan dengan UMNO mempunyai akses bagi menterjemahkan dasar serta asas kepada intipati perjuangan iaitu membela rakyat, menyantuni dan memagari setiap perkara yang melibatkan kepentingan UMNO,” katanya pada sesi perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, tanggapan itu tidak menjadi kenyataan, sebalik UMNO diberi hak dalam kerajaan, tetapi peranan diberi tidak menepati aspirasi serta kehendak terhadap perkara asas dan pokok serta tujuan UMNO itu sendiri.

Oleh itu, lebih baik UMNO berada di luar daripada bersama PN, yang akhirnya rakyat akan hilang kepercayaan kepada parti itu.

“Yakinlah pada parti kita. UMNO adalah parti tunggal terbesar. Akar umbi masih lagi yakin, tetapi malangnya sebahagian pemimpin kita telah hilang kepercayaan kepada parti.

“Mengapa tiba-tiba hari ini pemimpin kita yang hilang keyakinan sehingga ke hulu ke hilir menagih simpati untuk terus menjadi penumpang kepada parti yang jelas menjadi pengkhianat kepada kita.

“Seingat saya, UMNO jauh lebih kuat dalam tempoh 22 bulan sebagai pembangkang, dengan satu demi satu kita menang pilihan raya kecil berbanding saat dan ketika ini kononnya kita sebahagian daripada kerajaan,” tegas beliau.

Menurut Wan Mohamed Rasman, UMNO telah diuji dengan perpecahan dalaman sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1987, 1998 dan 2016.

Katanya, daripada perpecahan itu, lahirlah parti serpihan dari UMNO seperti Semangat 46, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan yang terakhir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Kita harap episod ini berakhir dan tidak berlaku lagi selepas ini, tetapi walau apapun yang berlaku, UMNO kekal teguh sebagai parti yang membawa wadah orang Melayu ini.

“Kita sedar terlalu banyak rintangan dan cabaran mendatangi kita, bagi kami Pemuda UMNO Kelantan yang dikepalai Noor Hariri Mohamad Noor akan tetap setia kepada parti dan berdiri teguh di belakang Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami juga berdiri teguh bersama pengerusi kami (Ahmad Jazlan) dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki,” katanya.

Katanya, Dr. Asyraf walaupun bukan menteri, tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan, tetapi jelas sekali beliau tetap istiqamah dalam menongkah arus perjuangan bersama parti walaupun UMNO bukan lagi parti yang menjadi teras dalam kerajaan pada hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast