KUALA TERENGGANU – Ketika parti lain bertelagah sesama sendiri, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) terus melebarkan sayapnya di dua negeri Pantai Timur.
Semalam, dalam lawatan rasmi Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali bersama barisan kepimpinan sayap parti itu di Kelantan telah bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendengar dan menyuarakan suara tidak puas hati rakyat kepada kerajaan negeri.
Hari ini, beliau bersama tiga sayap iaitu Pergerakan Wira, Wiranita dan Wirawati mengadakan pertemuan dengan kepimpinan penaja Putra dari seluruh Terengganu yang diketuai Pengerusi Perhubungan parti negeri itu, Dr. Wan Toren Wan Yusof.
Menurut Ibrahim, beliau telah mengadakan pertemuan dan pelancaran kepimpinan Putra Terengganu dengan dihadiri Ketua-ketua penaja Bahagian dan jawatankuasa dari seluruh negeri.
Katanya, dalam majlis yang berlangsung di Taman Tamadun Islam Terengganu itu beliau menjelaskan berkenaan salasilah penubuhan, hala tuju perjuangan dan 10 Sumpah Keramat Tuntutan Putra untuk dihayati oleh pimpinan parti negeri itu.
Kemuncak majlis adalah ucapan pelancaran dan kata-kata semangat oleh Ibrahim yang berbesar hati atas kejayaan penganjuran program itu walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa.
Beliau menegaskan, naratif politik Malaysia sudah berubah dan rakyat semakin muak dengan pemimpin politik semasa yang sentiasa beretorik serta bercakap tidak serupa bikin.
Putra, katanya, adalah parti alternatif baharu untuk rakyat memilih pemimpin Melayu yang bersih dan bermoral bagi membawa suara serta harapan mereka ke Parlimen.
“Justeru, Putra Terengganu harus bersedia menongkah badai dan terus istiqamah dalam perjuangan memartabatkan Islam dan Melayu,” katanya.
Turut hadir, Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif; Timbalan Pengerusi Perhubungan Putra Kelantan, Asri Ali; Ketua Bahagian Putra Tumpat, Azmi Ali; dan Exco Wira Putra Malaysia, Mohd Afiq Azman. – MalaysiaGazette