KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 kali ini berlangsung dalam suasana norma baharu dengan kehadiran perwakilan hanya kira-kira satu pertiga daripada lebih 5,000 orang seperti perhimpunan sebelum ini.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, tempat berlangsungnya PAU 2020 bermula hari ini hingga esok menyaksikan suasana sunyi dan lengang.
Hampir semua lobi yang sebelum ini penuh sesak dengan perwakilan, ahli, penyokong dan orang awam kini kelihatan kosong.
Ini bukan menggambarkan PAU 2020 tidak mendapat sambutan sebaliknya disebabkan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut Urusetia UMNO pusat, kehadiran perwakilan hari ini dan esok terhad kepada ketua-ketua bahagian, ketua-ketua Wanita, Pemuda dan Puteri sahaja.
Difahamkan, kira-kira 600 ketua tiga sayap parti hadir dari 191 bahagian di seluruh negara manakala kepimpinan lain berada di negeri dan bahagian masing-masing yang mengikuti secara maya.
Pagi ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyempurnakan perasmian persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka, PWTC.
Para media pula ditempatkan di Bilik Mawar yang terletak agak jauh dari tiga dewan persidangan tiga sayap UMNO.
Semua ini kerana penganjur PAU mahu mematuhi SOP ditetapkan, dengan anggota MKN serta KKM ditempatkan di setiap sudut untuk memantau pergerakan orang ramai.
Persidangan tiga sayap juga diadakan secara berasingan iaitu Wanita di Dewan Tun Dr. Ismail, Aras 2; Pemuda di Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2; dan Puteri di Dewan Merdeka, Aras 4. PWTC.
Persidangan ketiga-tiga sayap parti berjalan lancar dengan perwakilan mematuhi jadual masa ditetapkan penganjur, termasuk menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette