KUALA LUMPUR – UMNO perlu menjadi contoh dan merealisasikan proses meremajakan parti, bukan sekadar penghias ucapan pemimpin semata-mata.
Parti itu memerlukan idealogi dan cara kerja orang muda yang seringkali dipandang ringan oleh pemimpin parti.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, selama 22 bulan UMNO menjadi parti pembangkang buat pertama kalinya selepas puluhan tahun menjadi parti kerajaan memerintah.
“Dalam tempoh itu, ketika semua pemimpin parti buntu mencari halatuju dan kedudukan, Pemuda UMNO terbukti setia dengan parti dan memulakan langkah memperkukuhkannya melalui pelbagai gerakan di semua peringkat.
“Pemilihan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada 2018 contohnya, merupakan rahmat bagi Pemuda apabila beliau berani mengubah norma dan tradisi dalam UMNO yang sebelum ini tidak disukai ramai pihak.
“Pada waktu itu, Pemuda UMNO tidak lagi dilihat mewah, tiada lagi perbincangan projek mega di Perhimpunan Agung UMNO, tetapi masing-masing ikhlas membawa agenda parti dan memperkasa bangsa Melayu serta agenda menyatupadukan umat Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Menurut Nik Saiful Adli, tidak boleh dinafikan Pemuda UMNO yang menjadi barisan hadapan membawa agenda perpaduan sehingga tercapainya Muafakat Nasional (MN) bersama Pas yang pasti tidak pernah terfikir oleh kepimpinan parti sebelum ini.
Jelas Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dalam ketegangan ideologi pemimpin UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali lagi dapat dilihat kepimpinan sayap parti itu tetap teguh bersatu padu mempertahankan perpaduan dalam parti.
Kata beliau, Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Dr Asyraf hari ini wajar menjadi contoh teladan dan peristiwa sepanjang hampir tiga tahun ini wajar diambilkira sebagai medan ujian yang dianggap telah lulus dengan jayanya.
“UMNO usah lagi memandang pemimpin kitar semula, tetapi lihatlah kepada anak-anak muda yang mampu memimpin dan memperbaharui parti ke arah lebih baik.
“Baik dalam pemilihan kepimpinan parti, mahupun calon dalam pilihanraya, golongan pemimpin muda hari ini wajar diberi perhatian serius untuk diangkat sebagai pemimpin.
“Barulah peremajaan parti bukan menjadi sekadar retorik, tetapi realiti yang pastinya perlu dimulakan oleh UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette