Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah sekali-kali curang kepada kawan dalam Muafakat Nasional (MN) malah kekal berpegang kepada janji dan ketetapan untuk bersama dalam gabungan itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNOa, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu juga tidak pernah setuju menganggotai Perikatan Nasional (PN) walaupun ianya didaftarkan secara diam-diam tanpa pengetahuan dan persetujuan UMNO.

“Kepada sahabat dan sekutu kami, Pas dalam MN. Ikhlas kami, Pemuda katakan, penyatuan bersama kalian (Pas) adalah mimpi terindah, suatu yang kita semua dambakan berpuluh tahun lamanya.

“Pegang eratlah ikatan MN ini seutuhnya! Jangan biarkan ikatan terlerai atau dileraikan oleh pihak ketiga, kerana belum tentu peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Menurut Asyraf, Pemuda UMNO juga menyeru kepada kepimpinan agar berpakatlah dengan hikmah, termasuk berunding tanpa helah bak “kundur tidak melata pergi, labu tidak malata mari”.

Katanya, tidak ada kusut yang tidak boleh selesai, bahkan yang penting mesti ada ikhlas dan jujur dalam persahabatan mahupun persepakatan.

“Kami Pemuda, rela menjadi sebahagian daripada kudrat yang memikul jentera untuk kemenangan semua. Namun, kami ingin ingatkan, jangan sesekali khianat dan curang bak “duduk berkisar, tegak berpaling” kerana kesannya kelak boleh merosakkan kesatuan dan permuafakatan,” ujarnya.

Menurut Asyraf, sejak merdeka lagi UMNO tidak pernah bersendirian dalam membentuk kerajaan, bahkan terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi rakyat serta negara.

Jelas beliau, UMNO juga parti yang mendokong penyatuan demi ummah, tetapi bukan dengan cara menghalalkan khianat dan merelakan parti terus-menerus dicurangi serta diperkotak katikkan semahunya.

“Kita juga sedar ada parti yang ditubuhkan untuk menggantikan kita, sengaja membentuk perikatan baharu, untuk menyisihkan barisan kita.

“Mereka di depan manis, belakang bak telunjuk lurus kelengking berkait. Bercakap soal kejujuran tapi sebenarnya dialah khianat.

“Bercakap soal bersih dan berintegriti, tapi cakap tak serupa bikin. Bercakap soal perpaduan tapi dialah yang mencatur pemecahan. Inilah yang dikatakan orang tua-tua bijaksana umpama kayu bengkok, masakan lurus bayangannya,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, parti baharu itu, walaupun cuba menyorokkan kepala tetapi punggung tetap kelihatan.

Sebab itu, katanya, UMNO jangan mudah tertipu dan mesti kenal kawan serta lawan kerana siapa yang boleh dijadikan kawan, tapi tidak makan kawan dan siapa yang sebenarnya lawan walaupun sudah berkawan.

Yang penting UMNO jangan hilang arah dan mesti tegas, berani buat pendirian ‘bak menikam biar tembus, memancung biar putus, menggantung biar tinggi’.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan UMNO agar jangan sekali-kali merasa kerdil diri, lemah sehingga tidak mampu bersendirian.

Katanya, UMNO juga jangan merasakan hilang harga diri dan merasakan seolah parti tidak lagi ada karamah, lantas rela melutut kepada seteru, kononnya boleh menjamin kemenangan.

“Rakyat sudah mencuba kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, lantaran terkesima dengan janji bulan dan bintang, termakan dengan fitnah dan hasutan kebencian. Namun akhirnya rakyat menjadi mangsa, kerajaan yang naik mengganti Barisan Nasional (BN) rupanya indah khabar dari rupa.

“Rakyat juga ditakdirkan mendapat kerajaan PN yang hakikatnya rapuh dan susah nak bertahan lama, lantaran hanyalah sekadar gabungan longgar parti-parti yang bekerjasama. Janji untuk bersama hanya buat seketika, kerana sama-sama telah sepakat untuk kembalikan mandat kepada rakyat semula.

“Justeru, Pemuda mesti memahat keyakinan yang jitu bahawa kita ada jenama Barisan Nasional yang wajib dipertahankan. Inilah sahaja parti yang terbukti punya ‘track-record’ yang panjang, mampu menawarkan kestabilan,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat bersedia menerima UMNO dan menanti parti itu menjadi kerajaan semula, namun, sudah tentu dengan citra perjuangan yang lebih kudus dan wajah baru yang lebih tulus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PRU pun belum lagi, UMNO dah berangan nak rebut Kedah, Terengganu dan Kelantan dari PAS. Siapa sebenar yang tidak juur sekarang ini.

Comments are closed.