Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Gesaan supaya ahli UMNO yang memegang jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meletakkan jawatan hari ini hanya pandangan peribadi Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebaliknya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan parti adalah seperti yang diumum oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerusi ucapan dasar bahawa wakil rakyat parti itu akan kekal berada dalam kerajaan sehingga pembubaran Parlimen.

“Itu pandangan dia tetapi dalam parti kita buat keputusan beradasarkan parti. Keputusan parti adalah apa yang diusulkan Presiden tadi, itulah kebersamaan MP-MP BN dalam kerajaan yang ada sekarang sehingga pembubaran Parlimen,” katanya kepada pemberita ketika melawat Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2020 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, selaku ahli parti yang bersifat ‘orang parti’ beliau tidak akan menyuarakan pandangan peribadi yang boleh mencetuskan perpecahan.

“Saya adalah orang parti jadi saya jarang mengutarakan pandangan peribadi bila parti sudah ada pandangan sebab saya tidak mahu dilihat parti memberi pandangan yang boleh membawa kepada perpecahan walaupun saya ada pandangan sendiri, tapi saya utarakan dalam MKT (Majlis Kerja Tertinggi),” tambahnya. – MalaysiaGazette