Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Polis Johor merampas dadah bernilai RM1.08 juta hasil pembongkaran sebuah makmal pemprosesan dadah jenis heroin di Iskandar Puteri pada 23 Mac lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi khas dijalankan di sebuah rumah sewa pada 2 petang, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bertindak sebagai ahli kimia dan ‘runner’ ditahan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dipercayai dibayar gaji sebanyak RM10,000 sebulan untuk membuat dan mengedar dadah kepada pelanggan di sekitar negeri itu.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini terdiri daripada 57.83 kilogram (kg) heroin bernilai RM642,588.88; 4.53 kg heroin base bernilai RM420, 828.56 dan 77.70 kg kafein bernilai RM26,418.

“Selain dadah, pelbagai peralatan untuk memproses dadah turut dirampas. Polis juga menyita lima buah kenderaan, sebuah motosikal, wang tunai RM16,430, pelbagai barangan kemas, 25 utas jam tangan dan 15 akaun bank bernilai RM473,283.42,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ayob Khan, berkata susulan penahanan lelaki berkenaan, polis memberkas dua wanita tempatan berusia 34 dan 35 tahun di Temerloh, Pahang dan Batu Gajah.

“Kedua-dua wanita ini adalah isteri kepada dua lagi lelaki yang masih diburu polis untuk membantu siasatan bersabit Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan masing-masing beralamat terakhir di Taman Bestari dan Taman Perling, Iskandar Puteri,” katanya.

Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kediaman berpagar dan berpengawal yang disewa sebagai makmal memproses dadah dan dipercayai telah beroperasi selama setahun.

Dalam satu lagi kes, Ayob Khan memaklumkan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan pada 25 Mac lepas, juga di Iskandar Puteri bersama dadah jenis syabu dan ketamin bernilai RM347,874.44.

“Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu rekod ‘wanted’ bagi kes dadah.

“Lelaki ini baru melakukan kegiatan ini kira-kira seminggu turut menjadikan rumah sewa berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan hasil penahanan lelaki terbabit. – Bernama