KUALA LUMPUR – Para pengusaha majlis perkahwinan di negara ini gusar sekiranya perusahaan mereka turut terkena tempias ekoran isu dakwaan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam sebuah majlis pernikahan selebriti terkenal yang berlangsung semalam.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, situasi tersebut amat menggerunkan mereka yang berada di dalam industri selain turut merasa khuatir dengan impak yang bakal berlaku di kemudian hari.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen.

“Kami berhempas pulas mencari solusi dalam proses rayuan pembukaan semula industri ini namun kerana isu sebegini kemungkinan besar perkara yang sangat digeruni oleh pengusaha majlis perkahwinan mungkin akan berulang semula.

“Saya mewakili persatuan ingin merayu terhadap pihak pengusaha serta yang berkaitan, janganlah sesekali mengabaikan SOP yang telah jelas ditetapkan oleh kerajaan kerana impaknya bukan hanya satu pengusaha yang bakal terganggu tetapi keseluruhan industri akan terjejas.

“Kami harap kerajaan akan ambil tindakan tegas dan sewajarnya dalam isu ini kerana kami merasakan apa yang berlaku ini tidak adil bagi semua selain boleh mewujudkan spekulasi dua darjat yang jelas jika diabaikan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Zarinah, seharusnya Neelofa yang juga merupakan usahawan berjaya dan ikon selebriti tanah air itu lebih peka dengan pematuhan SOP yang telah diwartakan oleh kerajaan dalam memastikan keselamatan keluarga dan semua tetamu yang hadir.

Menurut beliau, adalah tidak wajar bagi seseorang yang terkenal melaksanakan majlis perkahwinan tanpa mematuhi SOP kerana penularan wabak Covid-19 masih lagi belum dapat dibendung.

“Tidak kurang juga penasihat perancang perkawinan majlis tersebut kerana ia merupakan syarikat ternama, jadi perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab agar pelaksanaan majlis pelanggannya menetapi syarat SOP.

“Isu ini serius dan membimbangkan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku antaranya wujud kluster perkahwinan di mana akan terus mengakibatkan penutupan industri perkahwinan semula,” ujarnya.

Hari ini media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur majlis pernikahan selebriti popular, Neelofa dengan pelakon yang juga pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz berkaitan pematuhan SOP. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.