Friday, March 29, 2024
Home Utama UMNO boleh tarik diri daripada PN bila-bila masa – Zahid

UMNO boleh tarik diri daripada PN bila-bila masa – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO boleh menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa sekiranya tidak ada indikasi untuk mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin jika keputusan untuk menarik sokongan itu dibuat, semua Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia melepaskan jawatan masing-masing.

“Kalau ini keputusan mereka (PN), saya yakin rakan kita dalam MKT, yang mandat diberikan kepada kita… Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi GLC, dan semua Ahli-ahli Parlimen UMNO, akan 100 peratus akur pada keputusan parti untuk tarik diri dari Perikatan Nasional.
“Kalau tarik diri, ini merupakan keputusan parti. Mereka tidak akan gusar untuk letak jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC demi mematuhi keputusan dibuat parti,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, di Pusat Dgangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah menerima mandat untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi kesemua pemegang jawatan utama dalam kerajaan dari UMNO, untuk melepaskan kedudukan mereka.

Tambahnya, kedinamikan politik merupakan sesuatu yang harus diterima oleh ahli UMNO.

Sementara itu, ketika meminta perwakilan menunjukkan sokongan mereka bersetuju dengan cadangan daripada pengerusi-pengerusi perhubungan negeri yang menjadi jurucakap untuk menentukan tempoh waktu bagi menarik diri daripada kerajaan PN, kesemua yang hadir memenuhi Dewan Merdeka bangkit menyokong perkara tersebut. – MalaysiaGazette