Wakil pembahas Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasa Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Johor sedia untuk bertembung dengan kerusi Parlimen yang dipegang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, justeru kepimpinan parti perlu memberi kuasa autonomi kepada UMNO Johor untuk membuat perancangan bagi menghadapi PRU tersebut.

“Berilah Johor autonomi sama seperti yang dipohon oleh (UMNO) Pahang.

“Saya sudah bentangkan pandangan UMNO Johor bahawa kita ingin bertanding 26 kerusi. Keputusan BN Johor (sebelum ini) tanding semua kerusi melainkan (Parlimen) Pagoh kerana kita hormat Perdana Menteri.

“Tetapi UMNO Pagoh kata mereka tidak benarkan Perdana Menteri bertanding tanpa sebarang pertandingan (perlawanan) daripada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Hasni mendakwa, tinjauan yang dibuat di Pagoh mendapati sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) hanyalah sebanyak 19.8 peratus, manakala, Barisan Nasional (BN) sebanyak 24.4 peratus dan Muafakat Nasional (MN) sebanyak 37.1 peratus.

Begitu juga dengan tinjauan terhadap pengundi Melayu di seluruh negeri apabila ia menunjukkan hanya 26 peratus menyokong PN, dakwanya lagi.

Pada 2 Januari lalu lalu, UMNO Johor menyatakan pendirian untuk memberi laluan kepada Muhyiddin mempertahankan Parlimen Pagoh pada PRU15.

Bagaimanapun keputusan itu dibantah pimpinan bahagian Pagoh.

Pada PRU14, Muhyiddin dengan sokongan PH mengekalkan kemenangan di Pagoh dengan majoriti 6,927 undi dalam pertembungan tiga penjuru melawan calon UMNO dan Pas.

Bagaimanapun, keadaan mungkin sukar untuknya pada PRU akan datang jika pengundi bukan Melayu yang merangkumi kira-kira 34 peratus tidak menyokong beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast