Upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO kekal sebagai parti politik terbesar dengan keahlian seramai 3,359,368 orang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sejak dari 9 Mei hingga 26 Mac tahun ini parti itu telah menerima 127,214 ahli baharu.

“Sokongan dan dokongan ahli UMNO akar umbi adalah kekuatan parti. Sehubungan itu, dilaporkan jumlah ahli UMNO terkini ialah seramai 3,359,368 orang sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 21,883 cawangan di 191 Bahagian.

“Ini menjadikan UMNO masih kekal sebagai parti politik yang terbesar dengan bilangan ahli paling ramai di Malaysia,” katanya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

Menurut Ahmad, daripada segi negeri, bilangan ahli teramai adalah di Sabah diikuti Johor, Selangor dan Kedah.

Manakala, bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi adalah di Lahad Datu, diikuti Semporna, Libaran, Gombak serta Baling.

Katanya, apa yang penting adalah bahagian perlu mempunyai keahlian yang ramai kerana pemimpin UMNO yang menang menjadi Ahli Parlimen dan parti itu akan bertanding di banyak kerusi.

Tambahnya, perkara sama perlu dilakukan di peringkat cawangan dan perlu mengelakkan ahli di peringkat tersebut melompat ke parti lain selain memastikan kerusi yang melompat sebelum ini akan dirampas semula oleh UMNO. – MalaysiaGazette