(dari kanan) Mohd Muazzam Mohamed; Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam, Mohd Nazri Chik; Datuk Syed Osman, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM); dan Juftri Joha, Presiden MBM bergambar bersama di majlis menandatangani MoU, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperluaskan kemudahan pembiayaan mikro BangKIT kepada segmen usahawan siswa dan belia bagi menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan, selain menyokong kelangsungan dan perkembangan perniagaan yang sedia ada.

Usaha tersebut melibatkan pemeteraian perjanjian usaha sama strategik antara Bank Islam dengan dua Rakan Pelaksana baharu iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini.

Dilancarkan pada 25 November 2020, kemudahan pembiayaan mikro BangKIT memanfaatkan sumbangan atau sedekah yang diterima daripada masyarakat umum atau organisasi melalui Dana Kekal platform pendanaan awam Bank Islam, Sadaqa
House, bagi membantu usahawan mikro yang layak.

Penerima kemudahan pembiayaan ini akan turut diberi latihan dan bimbingan perniagaan secara praktikal yang dijalankan oleh Rakan Pelaksana bagi memastikan pertumbuhan dan kemampanan perniagaan yang diusahakan.

Menerusi sinergi berimpak tinggi dengan rakan pelaksana lain, BangKIT juga membimbing usahawan mikro yang sebelum ini tidak mendapat perkhidmatan perbankan untuk menjadi kumpulan pelanggan yang layak mendapat
perkhidmatan perbankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata, menerusi penyediaan kemudahan ini, Bank Islam bukan sahaja dapat menyediakan sokongan dana yang diperlukan bagi membantu perniagaan yang dimiliki oleh golongan muda,
tetapi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran usahawan siswa dan belia terlibat agar dapat mereka berdaya tahan, inovatif dan bersaing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar hari ini.

Beliau berharap agar usaha ini dapat memberi motivasi dan memperkukuhkan ekonomi kehidupan usahawan siswa dan belia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Pembiayaan Mikro BangKIT ditawarkan di bawah kontrak Qard (pinjaman tanpa faedah).

Ia menyediakan pembiayaan serendah RM500 hingga RM3,000 bagi perniagaan baharu dan RM3,000 sehingga RM20,000 bagi tujuan pengembangan perniagaan.

Tempoh bayaran balik pembiayaan adalah di antara enam bulan sehingga tiga tahun.

Tambahnya, Bank Islam akan mempergiatkan lagi usaha untuk membantu sektor keusahawanan siswa dan belia dengan bekerjasama Rakan Pelaksana daripada beberapa institusi pengajian tinggi lain pada masa akan datang. – MalaysiaGazette