Dua beranak maut akibat terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Manja, Kampung Baru 1, dekat Tangkak, pagi ini.

JOHOR BAHRU – Dua beranak maut akibat terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Manja, Kampung Baru 1, dekat Tangkak, pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak PPgB Rafiah Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang mengorbankan bapa berusia 52 tahun dan anak lelakinya, berumur 15 tahun itu, pada pukul 11.50 pagi tadi.

Katanya, sejurus itu, seramai 24 anggota dengan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Hilux daripada BBP Tangkak, Muar dan Bukit Gambir, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa yang terperangkap itu ditemukan di tingkat dua rumah terbabit,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan struktur rumah selain turut menjejaskan rumah bersebelahan.

Rafiah berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohd Fadhil Minhat ketika dihubungi mengesahkan kejadian kebakaran melibatkan dua mangsa itu.- BERNAMA