Enam tertuduh Mohamad Hafizi Zainuddin; Muhamad Zulhakimi Masdi; Muhammad Amir Ishak; Nur Farah Amira Alisham; Nurul Izzah Abdul Razak dan Marsya Fatini Mohd Rani dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Enam operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit sebuah hospital kerajaan.

Bagaimanapun, tiga daripada tertuduh mengaku bersalah manakala tiga lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abdul Rahman dan Sri Pracha Nanthini Balabedha di dua mahkamah berasingan.

Di Mahkamah Majistret 1, Majistret Mohd Zaki memerintahkan denda sebanyak RM2,700 dan lima hari penjara bermula pada tarikh tangkapan terhadap Mohamad Hafizi Zainudin dan Muhammad Amir Md Ishak selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah memalsukan dokumen sijil cuti sakit.

Mohamad Hafizi Zainuddin dan Muhammad Amir Ishak mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit.

Manakala, seorang lagi tertuduh, Nurul Izzah tidak mengaku bersalah sebelum dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Di Mahkamah Majistret 2, Muhamad Zulhakimi Masdi didenda RM3,500 dan penjara lima hari bermula tarikh sabitan selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan sama.

Manakala dua lagi tertuduh Nur Farah Amirah Alisham dan Marsya Fatini yang mempunyai dua pertuduhan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama.

Nur Farah Amira Alisham (kanan) serta Nurul
Izzah Abdul Razak (baju merah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit.

Majistret kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Muhammad Zulhakimi diwakili peguam Nur Najihah Ahmad Zulkarnain, Nur Farah diwakili Muhammad Zayumi sementara Masrya Fatini diwakili peguam, Chiang Kian Hong.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan curang menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu sijil cuti sakit yang mana dokumen tersebut adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn Bhd di Seberang Perai Tengah antara antara 27 Oktober 2020 hingga 27 Februari 2021.

Kesemua mereka didakwa dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Kalaivaanan dan Mohammad Nazri Abdul Rahim.

Kedua-dua majistret menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mei depan. – MalaysiaGazette