Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seorang wanita yang dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu selepas mengaku bersalah menghina polis menerusi media sosial, hari ini terlepas hukuman tersebut apabila Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan hukuman berkenaan.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu terhadap Nursahira Mohd Mizuar, 20, selepas membenarkan rayuannya dan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Dalam keputusannya, hakim itu turut mengurangkan denda RM10,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap Nursahira sebelum ini kepada RM5,000. Difahamkan keluarga wanita yang berasal dari Pendang itu membayar denda berkenaan.

Pada 31 Mac tahun lepas, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara  terhadap Nursahira setelah dia mengaku bersalah membuat dan memulakan komunikasi jelik melalui Facebook, dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada 10.12 malam, 27 Mac tahun lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas sabitan.

Difahamkan Nursahira yang pada masa itu bekerja sebagai pembantu kedai, memuat naik status tersebut kerana marah dengan tindakan polis yang mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, di Pendang pada 9 malam.

Pada 9 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Nursahira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.

Terdahulu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Nursahira berkata, anak guamnya telah dipenjara selama 10 hari dan hukuman itu sudah memadai serta merayu agar hukuman diringankan kerana perayu sangat menyesal serta insaf atas tindakannya.

Naran berkata, perayu yang kini bekerja di sebuah kilang, merupakan anak sulung daripada dua beradik dan menjadi harapan keluarga memandangkan bapanya seorang pesara tentera dan ibu pula hanya suri rumah.

Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz memohon hukuman setimpal atas alasan kesalahan menghina polis adalah serius dan hukuman sepatutnya menjadi pengajaran kepada orang lain. – Bernama