Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengimbau peristiwa bagaimana beliau menghormati demokrasi ketika Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau melakukan perkara yang betul apabila menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Pakatan Harapan menerusi keputusan itu dan menerima apa yang berlaku.

“Izinkan saya menyingkap kembali pada malam 9 Mei 2018, apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 berlangsung berjam-jam pada malam yang panjang. Ia adalah malam yang menggegarkan seluruh Malaysia dan saya akui bahawa ia mengejutkan saya.

“Malam itu sememangnya penuh dengan kekecewaan dan menyakitkan. Ia semacam kekalahan yang belum pernah saya rasakan dalam hidup saya,” katanya ketika berucap pada Forum Demokrasi di Malaysia di ibu negara, hari ini.

Najib mengakui pada ketika itu emosinya amat terganggu dan berfikir apa yang harus dilakukan olehnya selepas itu.

Katanya, apa yang berlaku mencatat sejarah selepas 60 tahun Barisan Nasional memegang tampuk pemerintahan dan tewas hingga menyebabkan namanya terpahat dalam sejarah.

“Saya diberi nasihat dan pilihan oleh orang di sekeliling saya. Salah satu pilihannya adalah mengisytiharkan darurat yang secara langsung saya tolak kerana boleh menyebabkan kekacauan dan itu pasti akan mempengaruhi hati nurani saya.

“Sebagai pengamal demokrasi, saya tidak dapat menekankan pentingnya mengakui kekalahan dan membenarkan peralihan kuasa berjalan dengan lancar, namun, perkara yang sama tidak diberikan kepada saya,” ujarnya.

Najib berkata, beliau dengan rela hati menyerahkan tampuk pemerintahan kepada PH ketika itu dan ia tidak terhad kepada dirinya sendiri.

Jelasnya, beliau dan ahli keluarganya pula dilayan dengan cara tidak adil serta penuh dengan penghinaan.

“Tetapi jangan salah, jauh di lubuk hati, saya tahu apa yang perlu dilakukan. Ketika dunia saya sendiri runtuh, dunia baru terbentuk.

“Dalam bahasa Melayu, kita mempunyai perkataan ‘keramat’ yang bermaksud suci. Suara suci rakyat Malaysia telah didengar. Siapa saya untuk menentangnya?

“Pada malam itu, saya bukan lagi perdana menteri dan saya akan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Tetapi, satu perkara tetap tidak berubah, saya percaya kepada demokrasi,” ujarnya.

Katanya lagi, kerana cinta dan mahu memberi penghormatan kepada demokrasi, beliau telah melakukan satu-satunya perkara yang betul pada malam tersebut yang diterimanya dengan terbuka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Toya lah. Pagi tu press conference mana ada ngaku kalah. Siap cakap seolah2 masih ada harapan jd gomen lagi kot.

Comments are closed.