Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian peserta yang hadir pada Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak senada dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki apabila mahu Menteri dan Timbalan Menteri dari UMNO mengundurkan dari dari Kabinet.

Menurutnya, jika UMNO mahu mengadakan pemilihan ia mesti dilakukan sama taraf yang mana tidak ada dalam kalangan yang bertanding memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Jadi, kita kena kaji secara mendalam dan kalau kita ada pertandingan pun kalau nak bertanding kita mesti bertanding atas level playing field.

“Kalau semua yang dalam kerajaan letak jawatan bertanding baru ada level playing field. Sebab bila mereka dalam kerajaan mereka akan tawar macam-macam dengan menggunakan peruntukan kerajaan dan sebagainya. Jadi tak adillah bagi mereka yang tiada jawatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas forum Demokrasi di Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Asyraf ketika ditemui pada forum berkenaan berkata, semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada UMNO wajar melepaskan jawatan dalam Kabinet terlebih dahulu sebelum mengadakan pemilihan parti.

Katanya, langkah itu perlu bagi mengelak UMNO berterusan menjadi bahan tohmahan oleh pihak-pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pemilihan parti yang mahu dibuat ada buruk dan baiknya.

Katanya, satu daripada kesan mengadakan pemilihan berkemungkinan boleh menyebabkan perpecahan dalam parti.

Sekiranya perkara itu berlaku, ia boleh menyebabkan pihak yang kalah itu dicuri oleh pihak lain untuk menjadi calon mereka hingga akhirnya UMNO menjadi lemah.

“Mereka akan tunggu pemilihan dalam UMNO, jadi serpihan daripada mereka yang kalah itu akan dipelawa atau dipujuk atau ditawar untuk masuk parti mereka.

“Jadi, UMNO akan jadi berpecah dari segi itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Letak jawatan menteri dulu baru adakan pemilihan parti – Asyraf