Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan untuk memanfaatkan sekitar dua juta belia melalui sebuah inisiatif e-tunai, ePemula.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keputusan FTSE Russell mengekalkan Malaysia dalam World Government Bond Index (WGBI) merupakan pengiktirafan kekukuhan pasaran bon Kerajaan Malaysia serta asas makroekonomi dan daya tahan negara yang baik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pengekalan Malaysia dalam WGBI adalah bukti keberkesanan pelbagai polisi dan inisiatif yang bertujuan untuk terus meningkatkan aksesibiliti dan kecairan pasaran.

”Kementerian Kewangan (MOF) ingin mengiktiraf usaha sama berterusan semua pihak yang berkaitan terutamanya Bank Negara Malaysia (BNM), Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) atas usaha sama yang berterusan dalam membangunkan pasaran kewangan Malaysia.

”Melalui kerjasama dengan BNM dan FMAM, MOF juga aktif di dalam pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk menggubal polisi bagi meningkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia disokong oleh tadbir urus dan ketelusan yang lebih baik melalui usaha penyelarasan pematuhan, peraturan dan keperluan operasi bagi pelabur domestik dan asing,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malaysia terus dikekalkan di dalam World Government Bond Index (WGBI) yang diterbitkan oleh FTSE Russell, seperti yang dilaporkan di dalam Fixed Income Country Classification Announcement for March 2021.

FTSE Russell merupakan penyedia indeks pasaran saham dan perkhidmatan data yang dimiliki sepenuhnya oleh Bursa Saham London.

Sementara itu, WGBI adalah penanda aras merangkumi penerbitan bon kerajaan dari lebih 20 negara utama di dalam pelbagai mata wang, yang digunakan secara meluas.

Tengku Zafrul berkata, sejak akhir April 2019, aliran masuk asing terkumpul ke dalam pasaran bon Kerajaan Malaysia berjumlah RM48.6 bilion, yang mana RM22.7 bilion adalah antara akhir April hingga Disember 2019 manakala RM17.2 bilion pada tahun 2020 dan RM8.8 bilion dari Januari hingga akhir Februari tahun ini.

Pegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia juga meningkat kepada 24.7% pada Februari 2021, berbanding 21.9% pada April 2019.

Pada akhir 2020, lebih daripada separuh jumlah pemegangan asing dalam bon kerajaan terdiri daripada pelabur jangka panjang seperti bank pusat dan kerajaan lain pada 31.5%, dana persaraan pada 17.7% dan syarikat insurans pada 2.6%.

Menurut beliau, daripada segi pelabur domestik, pegangan dalam bon kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi dari institusi perbankan serta pelabur institusi domestik.

Tambahnya, MOF akan terus bekerjasama dengan BNM, FMC, SC, Bursa Malaysia dan FMAM untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di persada pelaburan dunia. – MalaysiaGazette