Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd (dua kiri) bersama bergambar bersama Jurucakap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Abdul Hadi (dua kanan) semasa dipanggil untuk siasatan berhubung Himpunan Tuntut Undi 18 di Jalan Parlimen pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Peserta Himpunan Tuntut Undi 18 di Jalan Parlimen pada Sabtu lalu selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Antara yang hadir memberi keterangan adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee; Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd. Ithnin; Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Abdul Hadi dan ahli jawatan kuasa pusat Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj.

Kesemua dirakam keterangan pada pukul 2.30 petang dan selesai setengah jam kemudian.

Beberapa penyokong dan orang awam turut dilihat memenuhi jalan di hadapan IPD itu dengan membawa pelbagai plakad serta sepanduk ‘Solidariti Undi18’.

Menurut Amir, seramai 11 orang peserta himpunan tersebut dipanggil oleh polis untuk tujuan siasatan.

Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Abdul Hadi bercakap semasa dipanggil untuk siasatan berhubung Himpunan Tuntut Undi 18 di Jalan Parlimen pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2021.

“Kita dimaklumkan akan disiasat dibawah Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberikan notis dan daripada 11 yang dipanggil separuh lagi akan datang pada hari lain.

“Saya ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa perhimpunan pada Sabtu lalu bukan perhimpunan parti politik tetapi perhimpunan yang dituntut oleh semua termasuk mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan IPD Dang Wangi hari ini.

Tambah Amir, kesemua mereka yang dipanggil memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Katanya, walau apa pun yang berlaku, mereka akan tetap menuntut hak dan keadilan supaya Undi 18 dapat dilaksanakan di negara ini.

“Kita harapkan supaya tidak perlu dipanjangkan intimidasi yang dilakukan terhadap aktivis yang turun menuntut supaya hak mereka diberikan terutamanya kepada anak muda berusia 18 tahun yang sepatutnya sudah boleh mengundi.

“Kepada kawan-kawan di luar sana, jangan takut dan jangan risau apa pun yang akan dihadapi adalah untuk kebaikan pada masa akan datang.

“Kita akan meneruskan gerakan ini sehingga kerajaan menunaikan janji mereka untuk implimentasi Undi 18 dan ‘automatic voters registration’ pada Julai ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, peguam, Gobind Singh Deo berkata, barisan peguam telah dipersiapkan bagi mewakili kesemua mereka yang dipanggil untuk proses soal siasat.

Peguam, Gobind Singh Deo (dua kiri) bersama Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd (dua kanan) semasa dipanggil untuk siasatan berhubung Himpunan Tuntut Undi 18 di Jalan Parlimen pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2021.

“Kita akan beri bantuan kepada semua yang dipanggil dan sememangnya mereka ada pembelaan yang kukuh.

“Dalam masa sama, kita juga akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan seramai lapan peserta himpunan berkenaan telah diambil keterangan oleh pihak polis petang ini.

Sabtu lalu, kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada golongan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan Himpunan Tuntut Undi 18 di hadapan bangunan Parlimen.

Himpunan secara aman itu diadakan bagi meluahkan rasa kesal terhadap pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik tidak dapat dilaksanakan Julai ini, sebaliknya dijangka dilakukan selepas 1 September tahun depan. – Malaysia Gazette