Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Status Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak dikekalkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu 10 buah negeri dan wilayah iaitu Perlis, Kedah, Perak, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah, Labuan turut dikekalkan sebagai kawasan PKP Pemulihan (PKPP).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan ini dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membentangkan penilaian status risiko semalam pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Secara keseluruhan, KKM mengesahkan status kes Covid-19 di kebanyakan negeri ketika ini menunjukkan trend penurunan.

“Namun terdapat beberapa negeri yang masih menunjukkan trend turun-naik dan meningkat,” katanya pada sidang media perkembangan PKP hari ini.

Tambahnya, pengekalan status PKPB dan PKPP itu berkuatkuasa pada 1 hingga 14 April ini, manakala di Sarawak akan bermula pada 30 Mac sehingga 12 April 2021.

Menurut Ismail Sabri, rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP melalui konsep green travel bubble dengan menggunakan syarikat dan agen pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Rentas daerah yang tidak dibenarkan hanyalah bagi Sabah dan Sarawak, katanya lagi. – MalaysiaGazette