Dang Wangi District Police Chief, Assistant Commissioner Mohamad Zainal Abdullah during a news conference on Ops Sarang at Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette / 29 MARCH 2021 Najib Razak SOP Nasi Ayam Chee Meng chicken rice restaurant MySejahtera scan body temperature SOP violation
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asistan Komisioner Mohamad Zainal Abdullah di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Setakat ini lapan individu telah selesai diambil keterangan oleh polis berhubung protes aman penangguhan pelaksanaan Undi18 di hadapan bangunan Parlimen Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam untuk dirakam keterangan.

Katanya, ada beberapa individu lagi akan dipanggil lagi.

“Setakat ini hanya 8 orang tampil ke balai IPD Dang Wangi dan sudah selesai memberi keterangan kepada polis.

“Kita akan panggil beberapa orang individu lagi dalam masa terdekat untuk membantu siasatan kes ini,” katanya secara ringkas hari ini.

Isnin lalu, Mohamad Zainal mengesahkan 11 orang individu dipanggil untuk hadir ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan oleh polis.

Katanya, penganjur perhimpunan itu juga antara yang dipanggil untuk membantu siasatan polis.

Antara individu yang dipanggil polis adalah aktivis muda dan juga Setiausaha Agung Parti MUDA, Amir Abdul Hadi.

Mana-mana pihak yang hendak berhimpun dikehendaki memberi notis lima hari kepada polis sebelum acara diadakan dan tiada permit diperlukan.

Mohamad Zainal dalam kenyataan selepas himpunan petang Sabtu lalu mengesahkan penganjur tidak memberikan notis mengenai himpunan itu dan berkumpul tanpa kebenaran polis.

Siasatan akan dijalankan ke atas mereka di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Selain itu mereka juga akan disiasat mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021 iaitu apa-apa aktiviti dengan kehadiran yang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah.-MalaysiaGazette