Penghantaran pertama vaksin AstraZeneca sudah tiba di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Bekalan vaksin AstraZeneca ke Malaysia tidak terjejas kerana proses penghantaran dibuat secara langsung daripada syarikat berkenaan.

Malah menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, negara inia dijangka menerima sebanyak 600,000 dos vaksin jenama itu pada Jun ini.

Jelasnya penghantaran akan dibuat pada setiap bulan.

“Sementara kita masih menunggu perincian tentang penghantaran, saya tidak rasa pengurangan eksport daripada India akan menjejaskan kita, kita dapat AstraZeneca terus daripada AstraZeneca bukan dari Covax,” katanya ketika sidang media hari ini.

Terdahulu, menurut Khairy Jamaludin, India mengurangkan eksport vaksin Covid-19 berikutan kemunculan gelombang baharu dan kelemahan program vaksinasi di negara berkenaan.

Sebagai pembekal utama vaksin global, India telah menghantar lebih 60 juta dos ke 76 negara, kebanyakannya vaksin AstraZeneca yang dihasilkan oleh Institut Serum India (SII), pembuat vaksin terbesar di dunia.

Bekalan vaksin daripada negara itu terjejas berikutan kadar jangkitan meningkat mendadak baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khairy Jamaludin turut mengumumkan sebanyak lima buah syarikat korporat berkolaborasi dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk menjayakan program vaksinasi dalam negara.

Menurutnya, inisiatif itu adalah untuk menggembeleng tenaga bagi meningkatkan komunikasi penyampaian maklumat tentang vaksin Covid-19 kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Syarikat korporat berkenaan adalah Pos Malaysia, GRAB, Parkson, St John Ambulans Malaysia (SJAM) dan Living Minds.

Beliau juga menyifatkan kerjasama syarikat korporat merupakan tepat pada masanya menjelang fasa kedua PICK bermula 19 April nanti.

Kesemua syarikat berkenaan akan membantu mempromosi PICK menggunakan kelebihan aset dan fungsi masing-masing.-MalaysiaGazette