Soffian (tengah) menunjukkan gambar pokok ganja yang dirampas polis dalam satu serbuan di Pulau Tikus pada 23 Mac lalu.

GEORGE TOWN –  Tindakan seorang lelaki tanam tiga pokok ganja dalam bilik air terbongkar selepas polis menyerbu kediaman sewanya di Pulau Tikus pada 23 Mac lalu.

Serbuan sepsukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 12 tengah hari membawa turut membawa kepada penemuan pelbagai dadah lain yang dipercayai untuk aktiviti pengedaran.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 26 tahun itu tanam pokok berkenaan dalam sebuah pasu.

Jelas beliau, tiga pokok ganja yang masing-masing setinggi 48 sentimeter (cm), 46 cm dan 37 cm itu ditanam selepas suspek memperoleh biji benih dalam daun ganja kering yang dibelinya sebelum ini.

“Suspek mengaku cuba tanam ganja ekoran dapat biji benih tersebut, malah dia turut meletakkan pokok berkenaan di dalam bilik air yang mempunyai pencahayaan cukup agar pokok tumbuh dengan subur.

“Kita percaya suspek yang tinggal bersendirian itu sudah tanam pokok ganja tersebut sejak lima bulan lalu berdasarkan saiz pertumbuhannya.

“Dalam serbuan itu, polis turut menemui beberapa 30.38 gram syabu, heroin (28.50 gram) dan ganja (13.63 gram) yang dianggarkan bernilai RM7,360 dalam ruang meja makan di rumah itu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut hari ini.

Tambah Soffian, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan THC.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan termasuk sebuah motosikal ialah sebanyak RM10,260,” jelas beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2), Seksyen 6 serta Seksyen (15(1)(a) akta yang sama. – MalaysiaGazette