Geng Langau Biru yang aktif curi motosikal sejak lima tahun ditumpaskan dalam dua serbuan di Kulim, Kedah.

GEORGE TOWN – Geng Langau Biru yang terlibat dalam kegiatan curi dan jual komponen motosikal sejak lima tahun lalu dilumpuhkan selepas polis menahan tujuh ahli sindiket tersebut dalam dua serbuan di Labu Besar, Kulim pada Khamis lalu.

Sindiket yang diketuai lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan turut mencuri motosikal di kawasan kediaman polis di Ayer Itam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya menahan tujuh suspek berusia 18 hingga 34 tahun pada jam 12.30 tengah malam.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada penemuan 25 rangka motosikal yang dibuang dalam Sungai Sedim.

Soffian (depan) menunjukkan rangka motosikal yang dirampas polis pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

“Kita meminta bantuan Unit Selam Polis Marin untuk mengeluarkan kesemua rangka motosikal yang dilaporkan hilang sekitar daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Jaya, Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek itu berasal dari Kedah dan memasuki kawasan Pulau Pinang bagi kegiatan mencuri motosikal.

“Mereka ini akan meleraikan komponen motosikal untuk dijual kepada kenalan terdekat dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Tambah Soffian, hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak tahun 2016.

“Semakan kita mendapati mereka akan mencuri pelbagai jenis motosikal mengikut permintaan pelanggan.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek utama sindiket itu mempunyai 17 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kita masih mengesan ahli sindiket Geng Langau Biru yang masih bebas manakala kesemua tangkapan ini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan.

Antara komponen dan peralatan digunakan sindiket yang dirampas polis.

Dalam perkembangan lain, Soffian memberitahu sebanyak 381 kes curi motosikal membabitkan kerugian bernilai RM1.5 juta dilaporkan daerah Timur Laut sepanjang tahun 2020.

“Bagi tahun ini, setakat Mac sebanyak 51 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM200,000,” ujar beliau. – MalaysiaGazette