Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menyampaikan Biasiswa Selangor BITARA dan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor kepada pelajar cemerlang dalam akademik di Bangunan SUK, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 31 MAC 2021.

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor membidas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mendakwa kerajaan negeri menyebabkan kerajaan pusat kerugian RM1.25 juta sehari selepas menolak cadangan penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sebaliknya Datuk Seri Amiruddin Shari mengingatkan Mohd Zuki yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) agar tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak ikhlas semata-mata mahu mengikut telunjuk ahli politik.

“KSN ini dia kena jujur memberikan kenyataan, sebenarnya kalau nak cepat jajaran selatan paling cepat. Cuma ia jadi lewat bila ada cadangan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) yang nak alih semula ke jajaran utara.

“Kenapa nak alih semula, sebab dulu yang cadang namanya Anthony Loke (bekas Menteri Pengangkutan) sekarang yang cadang (Datuk Seri) Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan sekarang), nak sambung kerja Liow Tiong Lai, itu sahaja.

“Kalau nak jadikan alasan politik, saya tak nak alasan itu,” katanya pada Sidang media di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini.

Pada Isnin lalu, Mohd Zuki mendedahkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM1.25 juta sehari bersamaan hampir RM450 juta setahun susulan pendirian kerajaan negeri Selangor untuk tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula Projek ECRL.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri itu hanya akan menganggu perjalanan keseluruhan projek yang dijangka siap pada Disember 2026.

Dalam pada itu, Amiruddin melahirkan rasa hairan apabila perubahan cadangan penjajaran semula projek ECRL bermula sejak perubahan kerajaan persekutuan selepas Langkah Sheraton.

“Secara tiba-tiba pada penggal terakhir tahun lepas antara Julai atau Ogos lepas, perubahan dari jajaran lama telah dikemukakan oleh Menteri Pengangkutan baharu.

“Jadi mereka terpaksa buat semula sedangkan jajaran lama telah lama kita tolak dan nak melengkapkan segala kajian pada jajaran selatan.

“Jadi isu untuk mempercepat atau melewatkan disebabkan oleh keputusan kerajaan persekutuan yang mengubah kembali kepada laluan utara,” dakwanya.

Selain itu, Amiruddin berkata, mesyuarat Exco Selangor sebelum ini telah memutuskan jajaran selatan lebih cepat berbanding jajaran utara kerana kemudahan asas sudah lengkap.

“Jajaran utara, banyak perkara belum lengkap antaranya pengambilalihan tanah, pengeluaran penduduk-penduduk yang telah sedia ada di tapak.

“Antara tapak perlu tersentuh ialah Kampung Keretapi di Ijok yang sudah mempunyai penduduk-penduduk, peneroka dan bekas pekerja keretapi yang duduk di situ, jadi ia ambil masa,” ujarnya.

Jelasnya, jajaran selatan lebih sesuai susulan kerajaan negeri sedang membangunkan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Banting.

“Ia akan memberi limpahan, kemampuan dan peluang ekonomi yang lebih jitu kepada kerajaan negeri berbanding jajaran utara. Secara teknikalnya, kewangan dan pertimbangan sangat jelas jajaran selatan lebih baik daripada jajaran utara,” katanya.

Menurunya, jajaran utara akan melintasi beberapa laluan berkaitan dengan Sungai Selangor, iaitu sumber bekalan air di Lembah Klang.

“Lembangan sungai Selangor memberikan perkhidmatan kepada 60 peratus daripada 1.4 juta pemegang akaun di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Jadi kalau apa-apa berlaku dan pengalaman kami dalam LRT, MRT, pembangunan lebuh raya dan sekarang kita boleh lihat di Ampang dan beberapa tempat di mana kerja-kerja pembinaan akan memberi kesan kepada air.

“Walaupun di peringkat perancangan, mereka boleh elakkan semua keladak ke dalam sungai yang akan menyebabkan penutupan loji rawatan air.

“Jajaran selatan masih boleh diselesaikan tanpa kos tambahan yang kita boleh kekalkan pada RM45 hingga RM50 bilion,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mca ni kaki hampok umno tentu ada keperluan. lain ni nak balik jadual asal . Nak balas dendam pun ada juga

Comments are closed.