Arham Syafiq Azmi (dua dari kanan) sewaktu menerima Anugerah 100 Top Young CEO 2020 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Arham Syafiq Azmi berjaya meraih anugerah 100 Top Young CEO 2020 di salah sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Arham, 33, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Struktur & amp; Bahan) UTeM dan telah menamatkan pengajiannya pada tahun 2013.

Menurut Arham, UTeM banyak mencorak dirinya menjadi lebih dinamik di samping berfikiran luas bilamana bidang kejuruteraan yang dipelajarinya amat membantu dalam konteks aplikasi dalam realiti dunia sebenar sekaligus membuka laluan mudah menggapai kejayaan dalam tempoh yang singkat.

“Saya berhasrat selepas ini ingin mengembangkan lagi perniagaan dengan membekal produk Pengilang Peralatan Asal (OEM) secara lebih meluas di samping melahirkan ramai lagi usahawan berjaya dalam bidang perniagaan ini ke peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian berprestij berkenaan kerana menggambarkan penzahiran peranan UTeM melahirkan graduan unggul bukan hanya dalam bidang kejuruteraan semata-mata malahan mampu mengaplikasikannya dalam realiti sebenar dunia keusahawanan.

Untuk rekod, Arham merupakan pengasas Syarikat Bunga Beauty & Health di mana ia menawarkan poduk kecantikan dan kesihatan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).-MalaysiaGazette