Dzulkifli Abd Wahab

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) mengalu-alukan pelantikan Datuk Dzulkifli Abd Wahab sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif FGV Holdings Berhad berkuatkuasa hari ini

Dzulkifli, 65, mempunyai pengalaman selama 35 tahun dalam bidang perladangan, memulakan kerjayanya dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada tahun 1977.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Besar FELDA pada tahun 2009 dan memegang jawatan tersebut selama tiga tahun sehingga 2012.

Semasa menggalas jawatan sebagai Pengarah Besar Felda, Dzulkifli memantau lebih daripada 450,000 hektar ladang yang terdiri daripada kelapa sawit dan getah dan melaksanakan beberapa pelan tindakan untuk terus memacu nilai sosio-ekonomi 112,635 peneroka dan keluarga mereka.

Beliau juga terlibat dalam membuat keputusan peringkat atasan untuk melaburkan dana Felda ke anak syarikat, usaha sama dan syarikat bersekutu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan yakin FGV akan dapat meneruskan program transformasi BP21 dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi di bawah kepimpinan Dzulkifli. – MalaysiaGazette