GOGOPASAR mula beroperasi secara rasmi pada pertengahan Mac tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Sebuah laman sesawang yang memasarkan pelbagai barangan pasar segar, sejuk beku, buah-buahan dan sayur-sayuran, GOGOPASAR mengunjurkan untuk memiliki lebih daripada 100 usahawan yang bertindak sebagai hab perantara dan menjadi pusat transit bagi penghantaran barangan kepada pelanggan.

Pengasas syarikat, Lynn Alias berkata, buat masa ini, pihaknya memiliki 37 GOGOPREUNER yang mana 27 daripadanya aktif di kawasan masing-masing.

“Masih banyak lagi ruang yang perlu dipenuhi oleh usahawan yang berminat kerana kami kini (berada di )72 kawasan di seluruh Lembah Klang.

“Lebih menarik mereka berjaya meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan bergantung kepada usaha, komitmen masing-masing selain mengikuti garis panduan model perniagaan yang ditetapkan oleh syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

GOGOPASAR mengunjurkan untuk memiliki lebih daripada 100 usahawan yang bertindak sebagai hub perantara.

GOGOPASAR mula beroperasi secara rasmi pada pertengahan Mac tahun lalu telah mendapat suntikan pelaburan daripada FGV Holdings Bhd. (FGV) sebanyak RM10 juta dan menjadikan ia sebagai sebuah syarikat pemula yang pertama mendapat pelaburan berkenaan.

GOGOPASAR kini membuka peluang perniagaan kepada usahawan baharu atau mereka yang sedang menganggur untuk menjana hasil pendapatan lumayan setiap bulan.

Menurut beliau, melalui modal serendah RM5,000, mereka boleh terlibat sebagai GOGOPREUNER dan bertanggungjawab sebagai wakil pemasaran dan wakil khidmat pelanggan dan menyebarkan promosi produk serta perkhidmatan yang dihantar oleh ibu pejabat kepada para pelanggan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Lynn yang telah berkecimpung dalam dunia perniagaan selama 25 tahun dan menjadi wanita pertama berjaya memonopoli bidang e-dagang yakin potensi GOGOPASAR bakal membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19 mencari peluang bisnes baharu untuk bangkit semula.

GOGOPASAR kini membuka peluang perniagaan kepada usahawan baharu.

Beliau menjelaskan, modal RM5,000 itu meliputi sebuah ‘chiller’ yang akan digunakan untuk menyimpan hab transit sementara barangan pasar segar sebelum diuruskan oleh kumpulan penghantar terus ke rumah pelanggan.

Selain itu, mereka juga perlu memiliki premis yang mudah diakses oleh kumpulan penghantar untuk mengambil barangan segar berkenaan.

“Bagi yang tinggal di rumah bertanah, ia cukup mudah untuk mereka menyertai perniagaan ini tetapi jika mereka tinggal di kediaman bertingkat, mereka boleh menumpang di bahagian lobi yang menawarkan lot perniagaan, kedai dobi atau sebarang premis kecil yang boleh menempatkan ‘chiller’ dan mudah menjalankan transaksi pemindahan barangan kepada kumpulan penghantar,” jelasnya. – MalaysiaGazette