Siti Nurhaliza yang kini sedang sarat hamil telah menghadiahkan sesuatu yang istimewa pada tarikh 1 April 2021 dengan melancarkan album lagu kanak-kanak yang berjudul Legasi.

KUALA LUMPUR – Hari ini, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza akan menyambut ulangtahun ke-25 tahun di dalam industri seni tanah air.

Dia yang kini sedang sarat hamil telah menghadiahkan sesuatu yang istimewa pada tarikh 1 April ini dengan melancarkan album lagu kanak-kanak yang berjudul Legasi.

Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd diterbitkan secara digital dan juga album fizikal.

Bermula hari ini, para pencinta muzik dan peminat boleh mendapatkan album penuh di seluruh platform digital dan pihak SNP memberikan kepercayaan kepada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengedar.

Manakala album fizikal atau CD pula boleh dilanggan di platform snp.onpay.my atau menerusi Affiliate SNP yang sah.

Bagi penerbitan album ini, Siti Nurhaliza telah memberi kepercayaan kepada penerbit muda, Pown Hasril bagi memberikan sentuhan baru dan segar untuk keseluruhan lagu yang ditampilkan.

Wanita berusia 42 tahun itu juga sempat menyiapkan dua buah video sebelum berehat untuk persediaan melahirkan dan berpantang.

Video muzik lagu Medley Klasik Siti 1 akan dilancarkan pada pukul 9 malam ini di saluran youtube Siti Nurhaliza yang mendapat kerjasama daripada syarikat Beausiti dan Wonderlab.

Sebuah lagi video muzik ialah menerusi lagu ciptaan Siti untuk anakanda yang bakal lahir yang diberi judul Anakanda. Video muzik untuk lagu ini mendapat tajaan syarikat Cuckoo dan akan dilancarkan pada bulan ini.

Menurut Siti Nurhaliza, penerbitan album kanak-kanak merupakan usaha beliau bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

Selain itu, sebagai penyanyi yang telah bergelar ibu, dia berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran. Kanak-kanak dilihat lebih cepat dan peka mempelajari bahasa, kreativiti, motivasi dan tunjuk ajar.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu . Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna,’’ ujar isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.

Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.

Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan oleh beliau di dalam sebuah lagu dan berharap agar anakanda mengenal lagu kanak-kanak zaman beliau dahulu.

Ujar Siti Nurhaliza, dia berharap agar album Legasi tidak disamakan dengan album komersil beliau yang lain.

Penerbitan sebuah album komersial pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan.

Namun apabila mendengar album ini, Siti yakin usahanya tidak sia-sia kerana Legasi menampilkan keistimewaan yang tersendiri.

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan yang tersendiri sewaktu di dalam studio.

“Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya,’’ tambah beliau.

Album Legasi mengandungi tujuh buah lagu dan mempunyai 10 buah track termasuk interlud.

Di dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda. Sebuah lagi lagu ciptaan beliau sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album ini.

Lain-lain lagu adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua. – MalaysiagGazette