Datuk Saat (kanan) Datuk Dr Teo(tengah), Faisal (kiri) melihat kontena sepanjang 12 meter untuk kegunaan Unit Farmasi Logistik HPP di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menyumbangkan sebuah kontena untuk dijadikan stor simpanan bekalan dan alatan perubatan Unit Farmasi Logistik Hospital Pulau Pinang hari ini.

Kontena berukuran kira-kira 12 meter yang diubah suai termasuk pendawaian elektrik itu menelan kos berjumlah RM24,000.

Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Faisal Shahbudin berkata, sumbangan itu adalah di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Katanya, proses pembelian dan pengubahsuaian kontena bernilai RM24,000 itu dilakukan sejak tahun lalu namun memakan masa susulan kekangan pandemik Covid-19.

Datuk Saat (tengah) dan Faisal (kiri) ketika menyerahkan kontena sepanjang 12 meter kepada Datuk Dr Teo untuk kegunaan Unit Farmasi Logistik HPP di sini hari ini.

“Kontena berkenaan akan dijadikan stor simpanan bekalan dan alatan perubatan seperti sarung tangan, pelitup muka dan peralatan perlindungan peribadi yang digunakan kakitangan HPP.

“Kita harap sumbangan ini dapat memberi penjimatan kos kepada HPP terutama daripada segi sewaan kontena lain dan penyelenggaraannya.

“Selain itu, sumbangan ini juga merupakan simbolik penghargaan kami kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kontena terbabit di Unit Farmasi Logistik HPP di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi JKSB, Datuk Saat Esa dan Pengarah HPP, Datuk Dr Teo Gim Sian yang mewakili HPP bagi menerima kontena berkenaan. – MalaysiaGazette