Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilik kediaman yang berhasrat untuk mengalih atau mengusik pepasangan termasuk meter elektrik ketika membuat pengubahsuaian dinasihatkan untuk memaklumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlebih dahulu.

Menurut kenyataan TNB, kebenaran diperlukan sebelum melakukan pengalihan pepasangan supaya sebarang kerja yang dilakukan mengikut spesifikasi TNB dan tidak menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Jelasnya, pengalihan pepasangan TNB yang tidak teratur boleh mengakibatkan gangguan bekalan yang kerap, kejadian voltan berlebihan, litar pintas atau kebakaran di kediaman pengguna.

“Penglibatan diri dalam apa-apa aktiviti berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran sah termasuk tindakan mengusik atau mengalihkan kedudukan meter elektrik TNB merupakan satu kesalahan,” kata kenyataan itu.

Seseorang individu yang disabitkan melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun dan bil, pelanggan disarankan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 1300885454 atau e-mel kepada [email protected] atau kunjungi kedai Tenaga yang berhampiran. – MalaysiaGazette