Seorang lelaki parah dipercayai dipukul pemandu kereta Swift yang maut dalam kemalangan semalam.

GEORGE TOWN – Seorang pelajar lelaki berkelainan upaya (OKU) cedera pada muka selepas dipukul individu tidak dikenali menggunakan topi keledar dalam satu kejadian di sebuah kedai di Sungai Tiram, dekat sini semalam.

MalaysiaGazette difahamkan mangsa dikenali sebagai Iznur Hakim Mohd Nor, 21, dipukul oleh lelaki yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Baru semalam.

Mangsa dikenali sebagai Iznur Hakim Mohd Nor

Difahamkan, mangsa ketika itu sedang berehat di kedai penjual pakaian terpakai ayahnya sebelum didatangi lelaki berusia 30 tahun tiba-tiba bertindak memukulnya menggunakan topi keledar yang berada dalam kedai tersebut.

Susulan itu, lelaki tersebut melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift sebelum dilaporkan terlibat dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA. Anbalagan mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, hasil semakan rakaman televisyen tertutup (CCTV) mendapati ada pergerakan lelaki tersebut yang bergegas keluar dari kedai berkenaan sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Suzuki Swift berwarna merah.

”Siasatan lanjut mendapati, lelaki tersebut mengalami tekanan jiwa sejak awal Mac lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

“Akibat kejadian itu, pelajar pendidikan khas tersebut mengalami kecederaan teruk pada muka termasuk patah tulang hidung,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Anbalagan, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang wanita memuat naik satu status di Facebooknya mendakwa adiknya mengalami kecederaan pada muka akibat dipukul pemandu kereta tersebut.

Status yang dimuat naik kakak mangsa menerusi Facebook.

“Kesian Hakim baru nak tidur selepas pulang dari sekolah. Depa kata, dia (pemandu Swift) ada masalah mental. Hakim kena pukul dengan helmet di bahagian muka. Memang teruk kena, bengkak semua,” tulisnya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan termasuk sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Baru.

Mangsa berusia 30 tahun itu dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

Seorang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Azlan Shah semalam.