Proton Saga rekod jualan terbaik untuk segmen sedan A.

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Berhad (Proton) menjual sebanyak 14,898 kereta pada bulan lalu, jualan terbaik bulanan sejak September 2013.

Prestasi itu membabitkan jualan domestik dan eksport, menyaksikan kenaikan 26.2 peratus bulan ke bulan dari Februari.

Angka itu mewakili penguasaan pasaran sebanyak 23.5 peratus.

“Keseluruhannya, Proton kekal pada kedudukan kedua dalan ranking jualan,” kata Proton dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, bagi suku pertama tahun ini, Proton mencapai jumlah kumulatif julan sebanyal 32,826 unit dan tertinggi dalam penguasaan pasaran sukuan sejak bulan Mac 2012.

Penghantaran untuk dua model SUV terus meningkat pada bulan Mac ketika kilang pengeluaran di Tanjung Malim meningkatkan kapasitinya untuk bulan tersebut.

Sebanyak 3,513 unit Proton X50 dihantar kepada pelanggan, sementara Proton X70 menyaksikan kenaikan sebulan ke bulan sebanyak 58.4% kepada 2,337 unit.

”Apabila angka digabungkan, ia adalah rekod dalaman baharu dengan 5,850 SUV dihantar, mengalahkan rekod sebelumnya sebanyak 4,820 unit yang ditetapkan bulan lalu,” tambah Proton.

Proton Saga kekal sebagai model terlaris dengan 5,589 unit dijual, sekali gus menyaksikan jualan untuk segmen sedan A meningkat 32.5% berbanding Februari.

Proton Persona, Iriz dan Exora juga mencatat angka terbaik untuk tahun ini dengan MPV (Exora) sekali lagi menguasai jualan tertinggi MPV segmen C.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, penjualan pada bulan Mac adalah sangat baik kerana syarikat mencapai angka tertinggi dalam tempoh 90 bulan dan boleh melakukan terbaik jika dapat mengeluarkan lebih banyak kereta.

“Kami menganggarkan jumlah industri lebih dari 63,000 unit, menunjukkan semua jenama akan mencatatkan jumlah terbaik masing-masing untuk tahun ini,” tambahnya yang menyifatkan industri automotif Malaysia akhirnya mencapai kemajuan pada tahun 2021.

Menurut Roslan, syarikat itu masih mempunyai jumlah tempahan yang besar untuk dipenuhi sehingga dalam beberapa bulan ke hadapan dan Proton akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran sambil tetap fokus pada penyampaian produk berkualiti tinggi.

Sementara itu, Proton berkata, anak syarikat pembiayaan autonya, Proton Commerce Sdn Bhd, menyaksikan peningkatan untuk pembiayaan kereta.

Hampir 4,000 pinjaman dikeluarkan dalam tiga bulan pertama 2021 dengan anggaran 1,700 akan dikeluarkan pada bulan Mac sahaja.

Angka itu bersamaan dengan 122 peratus pertumbuhan pada bulan Februari dan keseluruhan, pengagihan untuk suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 141% berbanding tahun 2020. – MalaysiaGazette