Shabudin Yahaya

TASEK GELUGOR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya menafikan partinya ‘memancing’ atau ‘mencuri’ mana-mana ahli UMNO untuk menyertai Bersatu.

Shabudin berkata, dakwaan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah baru-baru ini terlalu subjektif.

“Mana ada siapa boleh ‘curi’ siapa. Kalau ahli mana-mana parti nak sertai parti lain itu hak dia.

“Jadi, dakwaan ‘curi’ ini bagi saya tak lebih daripada tindakan ‘escapism’ atau cuba melepaskan diri daripada masalah yang dihadapi parti itu sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambahnya, adalah tidak adil untuk membuat tuduhan tidak berasas itu tanpa mengemukakan sebarang bukti yang kukuh ketika ini.

“Tidak adil untuk tuduh kami curi ahli, sedangkan rakyat kini boleh cari maklumat lebih awal daripada kita untuk lihat perjuangan parti.

“Saya nasihatkan UMNO agar yakinkan kembali ahli dengan perjuangan mereka,” kata Shabudin. – MalaysiaGazette