Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah manerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepimpinan dalam Kesihatan Awam di UKM,Bangi. Foto FIKRI YAZID, 3 APRIL 2021.

BANGI – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen ke-48 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Selain Dr. Noor Hisham, Profesor Emiritus Dr. Soontak Lee turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah bagi kategori Pengurusan Kelestarian.

Dr. Soontak merupakan seorang saintis yang diiktiraf di peringkat global dan Profesor Emiritus di Universiti Yeungnam, Korea Selatan.

Turut naik ke pentas adalah Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Datuk Dr Teo Kok Seong yang menerima Anugerah Profesor Emiritus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah manerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepimpinan dalam Kesihatan Awam di UKM,Bangi. Foto FIKRI YAZID, 3 APRIL 2021.

Majlis penyerahan anugerah disempurnakan Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar).

Dalam titah perasmiannya, Tuanku Muhriz berkata, seluruh warga UKM harus berbangga dengan pencapaian Noor Hisham Abdullah.

“Seluruh warga UKM seharusnya berbangga kerana dua tokoh alumni UKM iaitu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarang Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam adalah antara individu-individu penting dalam menangani penularan wabak Covid-19,” titah baginda.

Turut hadir Pro Canselor UKM, Tan Sri Tunku Puteri Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Tahun ini UKM melahirkan 6,166 graduan dengan 85 daripadanya adalah graduan Ijazah Kedoktoran dan seorang penerima sukun Ijazah Sarjana Muda Sains Citra.

Dr. Noor Hisham merupakan bekas pelajar dan alumni Fakulti Perubatan UKM pada tahun 1988. – MalaysiaGazette