Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong merasai peluang menaiki MRT semasa melakukan Pemeriksaan dan Latihan Stesen MRT Putrajaya Fasa Satu di MRT Sri Damansara Sentral, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2021.

DAMANSARA – Kerajaan bersetuju meneruskan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurutnya, projek tersebut akan dilaksanakan berdasarkan kajian yang bakal dilakukan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mulai pertengahan tahun ini.

“MRT Corp diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyiapkan kajian menyeluruh, membabitkan jajaran dan aspek kewangan supaya pelaksanaannya lebih inovatif bagi kelulusan Jemaah Menteri.

“Kita akan maksimumkan manfaat kepada rakyat dan lebih praktikal dengan mengambil kira impak kos,” katanya pada sidang media selepas melawat operasi MRT Laluan Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abd Rahum Bakri.

Projek MRT3 merupakan kesinambungan projek infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan iaitu MRT dan MRT2.

Ia membabitkan aliran pusingan yang melalui kawasan seperti Jalan Duta, Setiawangsa, Pandan Indah, Salak Selatan, Bandar Malaysia dan Kerinchi.

Ka Siong berkata, kajian berkenaan turut melibatkan perincian tentang kos projek sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

“Apa yang penting kita akan memaksimakan faedah kepada rakyat mepihat cara paling praktikal termasuk kos,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan pembinaan projek fasa satu MRT Laluan Putrajaya yang telah siap 97 peratus siap. – MalaysiaGazette