Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto AFIQ HAMBALI, 10 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ungkapan ‘abang’ yang digunakannya terhadap Wang Yi melambangkan tanda hormatnya kepada Menteri Luar China yang dianggapnya sebagai senior.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ungkapan itu tidak merujuk kepada hubungan dua hala di antara Malaysia dengan China, sebaliknya hanya sebagai tanda hormat.

“Yakinlah bahawa prinsip Malaysia tetap bebas, berprinsip dan pragmatik dari segi dasar luar kita – diasaskan dengan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan, dan kesaksamaan.

“Kita akan terus memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat negara yang adil dan saksama. Ungkapan yang saya gunakan tidak merujuk kepada hubungan dua hala di antara Malaysia dengan China yang terjalin berdasarkan kepercayaan dan kesaksamaan.

“Menghormati Wang Yi lebih tua, dan senior sebagai Menteri Luar Negeri, itulah ‘abang’ kepada saya secara peribadi. Bersikap hormat tidak menandakan kelemahan,” tulisnya dalam akaun Twitter.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Hishamuddin tidak sepatutnya menganggap China sebagai ‘big brother’ atau ‘abang besar’.

Anwar menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap Malaysia dan dalam masa sama kenyataan Hishammuddin menggambarkan Malaysia memihak kepada kuasa besar dunia itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.