KUALA LUMPUR – Seramai 279,023 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dos suntikan vaksin mereka setakat 3 April, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, bagi tempoh sama, seramai 508,481 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di negara kini sebanyak 787,504.
Menerusi infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 71,403 diikuti Sarawak (52,157), Perak (50,334), Sabah (46,459) dan Kuala Lumpur (44,925).
Mengenai jumlah pendaftaran program imunisasi itu, sebanyak 7,808,785 atau 32.20 peratus direkodkan dalam tempoh sama dengan Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,132,502 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.