Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, bercakap kepada media ketika Majlis Penyerahan Lesen Perniagaan KL Prihatin di Jalan Tengah, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 08 FEBRUARI 2021
Tan Sri Annuar Musa. Foto SHAFIY ZUL, 08 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memfokuskan tujuh buah tasik dan kolam di bahagian utara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam usaha menjayakan Kempen Penanaman 100 juta Pokok (2021-2025).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia melibatkan Taman Tasik Metropolitan Kepong, Tasik Intan Baiduri, Kolam 99 dan Kolam Seri Murni, Kolam Nanyang, Kolam Taman Wahyu, Kolam Takungan Banjir Batu serta Taman Tasik Metropolitan Batu.

Penanaman pokok di kawasan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk menjadikan kawasan tujuh tasik ini sebagai pusat rekreasi riadah pasif dan aktif, katanya.

“Sebagai permulaan, sebanyak 100 pokok ditanam di kawasan Kolam Takungan Banjir Batu.

“Antara spesis pokok berkayu yang ditanam adalah Pokok Bunga Sakura Malaysia (Tekoma), Putat Laut, Bintangor Laut (Penaga Laut), Golden Shower Tree, Kelat Jambu Laut, Semarak Api (Flame of the forest), Casia Biflora, Tembusu Padang, Pokok Merawan Siput Jantan, Penaga Lilin, Pokok Bunga Tanjung, Pokok Kasai dan berberapa spesis lain yang bersesuaian dengan landskap kawasan yang dikenalpasti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, kementeriannya dan DBKL sedang mempertimbangkan untuk memanjangkan jajaran laluan
basikal melibatkan kawasan sekitar tujuh tasik sehingga ke Taman Eko Rimba Kuala Lumpur yang menjadikan jarak keseluruhan jajaran basikal berjumlah 62.5 kilometer bagi kegunaan orang
ramai.

Keseluruhan pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur rekreasi serta pengindahan di Kolam Takungan Banjir Batu adalah dibuat dengan kerjasama strategik bersama Yayasan Al-Bukhary secara berperingkat yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif CSR mereka.

Tambah beliau, program penanaman pokok di Wilayah Persekutuan itu bukan sahaja menjadi tanggungjawab
pihak kerajaan tetapi ianya adalah tanggungjawab kita bersama.

“Oleh itu, orang ramai dan pihak swasta disarankan untuk bersama-sama terlibat di dalam kempen penghijauan ini sebagai usaha memelihara khazanah semula jadi kita yang tidak ternilai.

“Inisiaitif Penghijauan Malaysia ini akan dapat memastikan pembangunan di Wilayah Persekutuan ini sentiasa mampan disamping mempertahankan kekayaan alam semula jadi negara bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar rendah karbon (Low Carbon City) dan Bandar Hijau (Green City),” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.